KSTI merancang untuk merangka Blueprint Enterprise Sosial tahun depan
KOTA KINABALU: Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi Sabah (KSTI) merancang untuk merumuskan dan mengembangkan Blueprint Enterprise Sosial untuk Sabah tahun depan.
Setiausaha Tetap KSTI, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim, mengatakan Blueprint ini akan merangkumi panduan dan strategi yang sesuai untuk mempromosikan dan mempercepat pertumbuhan serta peningkatan aktiviti perusahaan sosial.
“Diharap melalui Blueprint ini, sektor ini dapat memberikan sumbangan yang berkesan kepada pembangunan negeri dan mencapai pengaruh global.
“Kerajaan negeri akan terus menyokong dan membantu perusahaan sosial kerana sektor ini memberi sumbangan kepada agenda pembangunan inovasi sosial dan sosio-ekonomi negara.
“Menyedari potensi dan kepentingan perusahaan sosial di negeri ini, KSTI bercadang untuk menambahkan kredibiliti kepada perusahaan sosial melalui kerangka peraturan dan dasar kerajaan.
“Kementerian berharap bahawa bilangan besar perusahaan sosial yang sedia ada dengan inovasi, produk dan perkhidmatan yang baik, terutamanya di Sabah, dapat berkembang melalui program program seperti Komuniti Hub – Forum Dunia Perusahaan Sosial dan Forum Dunia (SEWF) Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan dan merujuk kepada SEWF23 Komuniti Hub yang baru-baru ini berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Datuk Hanafiah berkata SEWF23 berjaya menarik minat, mendidik, dan membina kesedaran lebih lanjut tentang inovasi sosial, perusahaan sosial Sabah dan Malaysia serta aktiviti aktiviti yang dianjurkan di peringkat global.
Mengenai acara tersebut, Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC) telah bekerjasama dengan SEWF Amsterdam untuk membawa lebih banyak perspektif dari seluruh dunia kepada komuniti, terutamanya di Sabah.
Penasihat program SEWF Community Hub Kota Kinabalu Dr Sharifah Nurafizah Syed Annuar berkata program yang telah berlangsung ini bukan sahaja membawa isu isu berkaitan dengan perusahaan sosial di peringkat antarabangsa malahan juga membincang dan mengupas isu isu di peringkat tempatan khususnya di Sabah.
“Diadakan untuk pertama kalinya di Sabah, acara tersebut juga turut menganjurkan anugerah berprestij yang dikenali sebagai SE Kinabalu Awards untuk memartabatkan perusahaan sosial tempatan dan institusi yang memberi sumbangan penting dalam menyokong ekosistem ini.”
Pengarah Program SEWF23 dari SCENIC Nur Suhailah Mohamad berkata sokongan yang diterima dari peserta dan pemegang taruh bukan sahaja daripada Sabah, tetapi juga dari Sarawak dan semenanjung Malaysia telah menjadikan program SEWF Community Hub Kota Kinabalu pada tahun ini lebih bermakna dan lebih inklusif yang tidak lupa dengan keterlibatan penduduk dari luar bandar.
“Program ini bukan sahaja memperkukuhkan jaringan kerjasama antara peserta, usahawan sosial, dan bakal pelabur, tetapi juga memberi tumpuan kepada peningkatan kapasiti serta bantuan kepada penerima manfaat di peringkat akar umbi di dalam dan luar Sabah.
“Kesedaran tentang keusahawanan sosial semakin meningkat, dan sokongan daripada pihak kerajaan negeri, terutamanya daripada Jabatan dan agensi Kerajaan, menunjukkan potensi SEWF sebagai gerakan yang mampu mendorong inovasi akar umbi dan perusahaan sosial yang memberi keutamaan kepada penerima manfaat. Barulah bumi kita ini semakin lestari dari segi ekonomi dan juga alam sekitar.”
Pengurus Besar SCENIC, Viviantie Sarjuni yang bertanggungjawab membawa kolaborasi antarabangsa ini berkata kejayaan berkolaborasi dengan entiti antarabangsa seperti SEWF Amsterdam adalah sangat penting untuk membawa peluang pelaburan dari luar negara bagi membantu projek inovasi sosial dan perusahaan sosial di Sabah. Status sebagai negeri termiskin di Malaysia mungkin dapat dirubah melalui perusahaan dan inovasi sosial yang memastikan ekonomi akar umbi sentiasa aktif dan cabaran di lapangan dapat diselesaikan dengan teknologi dan inovasi.
SEWF23 Community Hub Kota Kinabalu menjadi tumpuan bukan sahaja di peringkat negara Malaysia tetapi juga sebagai salah satu daripada 25 buah negara yang berjaya mendapatkan lesen penyiaran SEWF dari Amsterdam.
Inisiatif SEWF23 Community Hub Kota Kinabalu diberi sokongan penuh oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) serta mendapat sokongan daripada entiti lain seperti Malaysian Communications and Multimedia Commission (MCMC), Department of Industrial Development and Research (DIDR), Sabah Tourism Board, dan Qhazanah Sabah Berhad.
Turut membantu melancarkan program ini termasuklah pertubuhan bukan kerajaan yang sangat aktif di akar umbi seperti Sabah Techpreneur Association (SATA) dan Sabah Social Entrepreneur & Eco Development (SEED) dan MEREKA.
Ends.