Dalam era pembangunan teknologi yang baharu, semua teknologi serta perubahan inovasi baharu mampu membawa negara lebih selangkah ke hadapan daripada negara lain. Ianya merupakan satu lagi kelebihan apabila sumber kuasa yang sedia ada dapat digantikan dengan sesuatu teknologi. Terutama apabila ianya berkaitan dengan sumber kuasa yang digunakan dalam kehidupan seharian.
Kemajuan teknologi kini telah berkembang pesat dalam memajukan sesebuah negara. Antara contoh teknologi yang semakin banyak kita gunakan di masa kini ialah, sistem teknologi tenaga solar yang semakin banyak digunakan di rumah-rumah serta bangunan-bangunan yang besar.
Apakah itu tenaga solar?
Baiklah, tujuan sebenar bagi sistem teknologi tenaga solar adalah bagi menggantikan sistem tenaga elektrik yang ada pada rumah mahupun bangunan-bangunan besar. Panel solar merupakan satu alat yang dipasang di tempat-tempat yang tinggi serta menghasilkan tenaga dengan menyerap cahaya dari matahari dalam sel fotovoltaik, yang kemudiannya mengubah tenaga tersebut menjadi elektrik. Sebab tulah tenaga solar sering dirujuk sebagai ‘solar PV’. PV tu bermaksud fotovoltaik. Panel solar pertama dicipta hampir dua abad yang lalu, dan solar PV dilihat semakin efisien serta semakin banyak permintaannya dan mula menjadi tarikan di pasaran sejak beberapa dekad yang lalu.
Pada tahun 1950-an – 1960-an, panel solar mempunyai kecekapan serendah 10% saja, bermakna HANYA 10% tenaga yang diserap dari matahari diubah menjadi elektrik. Kini, panel solar mampu menukar sekitar 20% tenaga. Kalau anda rasa jumlah tu macam kurang, kena ingat yang anda tak perlu membayar untuk cahaya matahari! Dan ianya didapatkan secara percuma!
Apakah kelebihan/kebaikan tenaga solar ini?
Antara kebaikan ataupun kelebihan yang ada pada sistem teknologi pada tenaga solar ini adalah seperti yang berikut :-
Tenaga solar ialah sumber tenaga yang bersih dan boleh diperbaharui. Tenaga solar adalah cara terbaik untuk mengurangkan jejak karbon dan ianya boleh menghalang daripada berlakunya pencemaran alam sekitar. Bukan itu sahaja, tenaga boleh diperbaharui ini tidak melepaskan sebarang gas rumah hijau. Ia hanya memerlukan sumber air bersih untuk berfungsi. Oleh itu, ia selamat dan mesra alam. Namun, masih terdapat ramai orang terutama di Malaysia yang masih ragu-ragu dan masih mengatakan tentang mengapa tenaga suria adalah baik. Kita boleh mulakan langkah menjaga alam sekitar dengan memasang panel suria di atas bumbung rumah. Tambahan pula ianya adalah cara yang selamat dan mudah untuk menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.
Penurunan kos panel solar telah menyumbang kepada peningkatan dalam penggunaan tenaga solar. Kita tahu bahawa, tenaga tradisional atau pun tenaga yang sedia ada kni sangat bergantung kepada bahan api fosil seperti arang batu dan gas asli. Bukan sahaja kurang baik bagi alam sekitar tetapi ianya juga merupakan sumber terhad kerana sumber tersebut semakin lama semakin pupus.
Berbeza dengan teknologi sistem tenaga solar ini, anda tidak perlu risau berapa banyak elektrik anda perlu bayar. Dengan melabur dalam sistem solar 4kW, yang merupakan saiz domestik yang paling biasa, anda boleh mengelak daripada dikenakan kenaikan harga utiliti ataupun harga bil-bil yang tidak menentu. Anda juga dapat menikmati elektrik murah sepanjang hari. Tambahan pula, matahari adalah percuma dan tidak akan habis.
Semua negara pasti akan terdapat tanah yang luas dan yang jauh dari bandar besar atau kota yang tidak digunakan untuk apa-apa pun. Secara tidak lansung, tanah terbiar ini dapat dimanfaatkan dengan membangunkan lebih banyak teknologi sistem tenaga solar ini. Dengan cara ini, kita tidak perlu menggunakan tanah berharga tinggi yang mungkin lebih sesuai untuk perkara lain dan sekaligus dapat melakukan penjimatan yang banyak.
Ladang bagi panel solar digunakan untuk menuai tenaga solar dalam jumlah besar. Daripada tanah dibiarkan, adalah lebih baik jika tanah tersebut digunakan untuk menjana tenaga solar.Ianya bukan sahaja mengurangkan kebergantungan terhadap kuasa yang sedia ada kini tetapi dalam masa yang sama ianya juga dapat menjaga alam sekitar. Sebagai contoh, sebuah ladang suria seluas 45 ekar telah dibina di UK baru-baru ini mampu menguasai sebanyak 2,500 rumah.
Elektrik perlu diangkut dari loji kuasa besar kepada pengguna akhir melalui rangkaian yang luas. Penghantaran jarak jauh bererti kehilangan tenaga. Tidak seperti panel solar ianya hanya berada di atas bumbung rumah anda untuk mendapatkan tenaga dari matahari. Kuasa suria pada bumbung membantu dalam meningkatkan kecekapan tenaga elektrik. Tenaga anda menjadi domestik dan hasilnya anda dapat mengawal bil dan penggunaan tenaga anda sendiri. Selain itu, sistem tenaga solar adalah tahan lama dan anda tidak perlu risau daripada terkena gangguan tenaga elektrik yang terkadang tiba-tiba sahaja “blackout” ataupun kurang.
Apabila anda menggunakan tenaga solar, anda tidak perlu berhadapan dengan masalah blackout lagi. Jika panel solar anda menjana lebih elektrik, lebihan tersebut akan dipindahkan kembali ke grid dan anda akan menerima pembayaran bonus untuk jumlah tersebut.
Tahukah anda? Sistem teknologi tenaga solar ini boleh membantu ekonomi negara kita. Lebih ramai orang memilih solar, maka lebih banyak keperluan untuk syarikat memasang panel solar. Ini sekaligus mewujudkan peluang pekerjaan tambahan untuk pekerja mahir, dan seterusnya dapat mengekalkan pertumbuhan ekonomi dalam masa yang sama menjadikan negara lebih maju ke hadapan dengan kemajuan teknologi ini.
Matahari memberikan kita sumber tenaga percuma lebih daripada yang kita gunakan dan tiada siapa yang boleh memonopoli cahaya matahari. Sistem tenaga solar mula menjimatkan wang dari saat ia diaktifkan, bagaimanapun kelebihan tenaga suria dapat dilihat dalam jangka hayat yang panjang. Semakin lama anda menggunakan sistem tenaga solar, semakin banyak manfaat/kebaikan teknologi solar anda nikmati serta dalam masa yang sama adalah lebih baik anda menjaga alam sekitar daipada tercemar.
Pihak Sabah Creative Economy Innovation Centre (SCENIC) berharap kemajuan teknologi seperti teknologi seperti tenaga solar ini dapat diterapkan lagi penggunaannya terutama bagi negeri Sabah ini. Kerana jumlah tenaga yang kini sedia ada kini lebih terhad sumbernya. Oleh yang demikian, sebagai langkah dalam membangunkan serta meningkatkan lagi tahap ekonomi supaya lebih maju kehadapan. Pihak kami berharap agar, kemajuan teknologi ini dapat diterapkan lagi dengan lebih mendalam serta lebih banyak penggunaanya agar negara kita bebas daripada masalah pencemaran alam sekitar serta menjimatkan lagi sumber yang kini semakin terhad. Dalam merealisasikan sebuah negara yang lebih maju dan utuh berbanding negara lain, kemajuan dalam bidang teknologi amat penting apalagi seperti sistem teknologi tenaga solar ini. Tambahan pula, teknologi seperti ini tidak memerlukan sumber tenaga lain. Dalam masa yang sama, kita masih boleh mengekalkan sumber-sumber yang terhad ini tanpa mengganggu sedikit pun khazanah yang ada di bumi ini.