Perniagaan adalah sebuah bentuk organisasi yang sah dan diiktiraf untuk menyediakan barangan atau perkhidmatan kepada pelanggan, perniagaan dan entiti-entiti kerajaan. Perniagaan adalah ekonomi kapitalis yang utama.
Dalam organisasi Pusat Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC) memainkan peranan dalam melahirkan usahawan yang berjaya. Pelbagai program yang dianjurkan untuk usahawan-usahawan. Salah satunya ialah program pengenalan kepada keusahawanan. Program yang dianjurkan juga merupakan landasan menuju kejayaan seorang usahawan. Kebanyakan usahawan memiliki perniagaan persendirian kerana terdapat banyak kebaikan menjalankan perniagaan sendiri.
Usia bukanlah suatu halangan untuk membuka perniagaan. Semua orang pasti dapat menjalankan perniagaan sendiri. Dalam hal ini, kita jugalah yang akan bertindak sebagai bos. Tiada seorang pun yang akan berani menyuruh kita berbuat ini dan itu, apatah lagi membentak kita kerana kita adalah bos dan bos adalah jawatan tertinggi dalam perniagaan. Semua keputusan ada di tangan kita. Tergantung bagaimana kita mengendalikan perniagaan tersebut untuk terus maju. Berbeza apabila kita menjadi seorang pekerja, kita tidak boleh bertindak sesuka hati kerana semua keputusan tidak mutlak ada di tangan kita.
Dengan membuka perniagaan sendiri, sudah pasti kemahiran dan kemampuan kita akan terlatih secara automatik dan terasah seiring berjalannya waktu. Jika perniagaan yang dijalankan berjaya, tidak mustahil kita akan menjadi seorang usahawan yang berjaya, dan peluang untuk membuka perniagaan lain semakin luas.
Membuka perniagaan sendiri dapat melatih peribadi seseorang untuk lebih berdikari dan tidak terlalu bergantung pada orang lain. Berjaya atau tidaknya suatu perniagaan, sepenuhnya berada di tangan kita. Disini, kita akan berusaha mewujudkan suatu produk atau perkhidmatan yang memiliki nilai jual dan mampu menarik perhatian masyarakat. Hal inilah yang akan mendorong kita untuk selalu memiliki idea-idea kreatif dan sentiasa melakukan inovasi.
Agar perniagaan dapat berjalan sesuai dengan apa yang diharapkan, kita memerlukan beberapa pekerja untuk menguruskan pekerjaan bahagian pemasaran, promosi dan sebagainya. Pada awalnya, jumlah pekerja yang diperlukan memang sedikit, kerana saiz perniagaan yang masih kecil. Namun, apa yang akan terjadi apabila perniagaan kita semakin berkembang dan memiliki cabang di mana-mana? Ini tandanya, kita memerlukan lebih banyak tenaga pekerja. Pada masa yang sama, peluang pekerjaan yang ada dapat mengurangi angka pengangguran di negeri Sabah dan negeri-negeri yang lain.
Pembahagian keuntungan seringkali dilakukan saat menjalani perniagaan bersama ‘partner’. Hal ini juga mengundang konflik apabila pembahagian keuntungan berat sebelah. Namun, hal ini tidak akan terjadi apabila kita membuka perniagaan sendiri. Perniagaan tunggal membuat kita mendapatkan keuntungan yang lebih besar, terutama jika perniagaan yang dijalankan sudah berskala besar.
‘Family is number one’. Ya, perkataan ini benar. Tanpa keluarga, hidup yang kita miliki sekarang tidak bererti. Rutin semasa kita di tempat kerja membuat kita kerap kali tidak memiliki waktu untuk berkumpul bersama dengan keluarga tercinta. Inilah alasan mengapa kita terdorong untuk membuka perniagaan sendiri. Meluangkan banyak waktu bersama keluarga merupakan salah satu faktor kebahagiaan dalam hidup kita. Apa erti memiliki wang tanpa kebahagiaan?
Itulah antara kebaikan-kebaikan yang boleh kita dapat apabila membuka perniagaan sendiri. Tidak dinafikan lagi, membuka perniagaan sendiri ataupun bersama ‘partner’ masing-masing memiliki pro dan kontranya. Untuk itu, kita perlu siap siaga ketika hal-hal yang tidak kita harapkan terjadi. Seperti peribahasa yang sering kita dengar, ‘sediakan payung sebelum hujan’.