PROSES INOVASI YANG DIAPLIKASIKAN DALAM KEHIDUPAN USAHAWAN

Inovasi ialah proses pengubahsuaian dan penambahbaikkan kepada produk yang sedia ada. Pada peringkat komersial, inovasi didefinisikan sebagai pembangunan produk yang mempunyai unsur kreatif dan berdaya saing di pasaran. Proses inovasi disasarkan berkaitan dengan permulaan dan pembangunan produk baru atau perkhidmatan, pelaksanaan pasaran dan penyebaran selanjutnya. Proses inovasi ini adalah aktiviti entiti ekonomi, iaitu satu proses yang terdiri dalam pembangunan dan pelaksanaan hasil penyelidikan ke dalam produk baru atau perkhidmatan yang dijual di pasaran, atau proses yang digunakan dalam aktiviti pengeluaran.

Permulaan inovasi adalah permulaan bagi proses inovasi. Apabila idea produk baru telah didokumentasikan dan inovasi pemasaran dilaksanakan, dimana syarikat akan mengkaji permintaan untuk produk atau perkhidmatan baru, menentukan bilangan atau jumlah output, ciri-ciri produk dan ciri-ciri pengguna, yang seharusnya ada didalam produk yang akan datang ke pasaran. Penyebaran adalah lanjutan daripada proses inovasi dalam bidang-bidang baru dan pasaran baru dalam keadaan ekonomi dan kewangan yang baru. 

Seorang usahawan akan selalu berupaya untuk melakukan sesuatu yang berbeza dengan produk, perkhidmatan atau proses sedia ada, tidak seperti yang dipikirkan dan dilakukan oleh kebanyakan orang. Ia adalah suatu kemampuan untuk memindahkan sumber daya yang kurang produktif menjadi sumber daya yang produktif sehingga memberikan nilai ekonomis. Visi utama Pusat Kreatif Ekonomi dan Inovasi Sabah (SCENIC) ialah untuk memacu industry di Sabah melalui teknologi, inovasi dan kreativiti, dan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam ekosistem. 

JENIS-JENIS INOVASI

  1. PENCIPTAAN

Penciptaan ialah rekacipta produk, perkhidmatan atau proses yang melibatkan penciptaan awal dan belum pernah dihasilkan oleh orang lain. Contohnya kapal terbang yang dicipta oleh adik beradik Wright, mentol dicipta oleh Thomas Edison dan Alexander Graham Bell yang mencipta telefon.

Kita telah maklum bahawa semua produk dan perkhidmatan yang disediakan di dunia ini ada penciptanya. Dalam inovasi jenis penciptaan ini, perkara yang perlu diambil kira adalah sesuatu produk tersebut adalah produk yang sebenar dan merupakan produk yang pertama dikeluarkan oleh seseorang atau organisasi perniagaan. Dengan kata lain inovasi penciptaan adalah proses menghasilkan produk yang belum ada kepada produk baru yang akan dipasarkan. Oleh kerana teknologi sentiasa berkembang maju dengan sumber yang terhasil membolehkan seseorang usahawan untuk menghasilkan satu inovasi penciptaan.

Oleh kerana rekacipta bagi produk yang dihasilkan adalah baru dan asli, kemungkinan penerimaan awal terhadap inovasi ini dianggap sebagai keterlaluan sehingga menjadikan orang lain melihat inovasi yang dilakukan adalah di luar kemampuan fikiran mereka. Walau bagaimanapun, inovasi penciptaan inilah menyebabkan kita lebih selesa dan mempunyai pelbagai barang dalam kehidupan kita sehingga hari ini. Kita tidak mengetahui apa yang akan berlaku pada masa hadapan, tetapi tindakan satu inovasi penciptaan akan menyebabkan kita memiliki sesuatu yang belum lagi kita miliki.

  1. PENGEMBANGAN

Pengembangan ialah proses pembentukan sebuah idea baru terhadap produk, perkhidmatan atau proses yang sedia ada, dalam bentuk yang diharapkan memenuhi kehendak pengguna. Contohnya, Colgate memperkenalkan “Simply White” kepada pelanggannya selain menjual ubat gigi biasa yang menjadi produk popular.

  1. DUPLIKASI

Duplikasi ialah replikasi ke atas produk, perkhidmatan atau proses yang sedia ada dengan menambah ciri-ciri baru demi meningkatkan persaingan dalam pasaran. Produk tersebut digunakan oleh pengguna dan menjadi satu kebiasaan kepada kita. Disebabkan proses penambahbaikkan produk sedia ada, ada sesetengah usahawan yang bertindak merujuk kepada produk sedia ada bagi menghasilkan inovasi terhadap produk. Walaupun begitu, inovasi ini bukanlah satu proses peniruan produk yang sedia ada tetapi penambahbaikan dengan sentuhan kreatif usahawan dalam merekacipta sesuatu yang akan dipasarkan nanti. Contohnya, terdapat kemudahan “Multimedia Messaging Service” atau MMS dalam telefon mudah alih.

  1. SINTESIS

Sintesis merupakan gabungan konsep dan faktor sedia ada ke dalam formulasi baru. Idea yang terhasil dari inovasi sintesis ini adalah keupayaan untuk tidak mencipta produk yang baru, tetapi lebih kepada penyusunan produk yang lama dengan menambah satu produk baru bagi menyediakan kombinasi produk tersebut menjadi lebih berkualiti dan dwi penggunaannya. Kebiasaannya kedua-dua produk tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain. Kita ambil contoh penggunaan telefon mudah alih sebagai alat komunikasi percakapan kini ditambah dengan penggunaan modem bagi membolehkan telefon mudah alih kini digunakan untuk rangkaian Internet.

    Comments are closed

    Lot 12, Ready Built Factory 5 (RBF5), Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), 88450 Kota Kinabalu Sabah, Malaysia

    CONTACT US

    Tel: +60 8849 8688
    Email: marketing@scenic.my
    Copyright 2024 - SCENIC | Web Designed by Khaiz Empire
    Privacy Policy
    Skip to content