Pada masa kini, Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang semakin berkembang memberi kesan kepada bidang pekerjaan dan mempengaruhi golongan pekerja. Penggunaan sistem robotik, automasi kilang dan pengawalan berkomputer telah meluas khususnya dalam sektor industri pengeluaran. Bagi sektor bukan pengeluaran pula, teknologi maklumat menjadi teknologi baharu yang terus berkembang khususnya bagi sektor perkhidmatan awam dan swasta.
Robot dapat membuat apa sahaja tugas-tugas yang rumit dengan cepat dan tepat. Tambahan, ia tidak terhad kepada pergerakan ortagon malah mempunyai pelbagai pemasangan sambungan yang membolehkannya merangsang pergerakan tangan manusia. Kerana robot tidak mengenal erti penat.
Apakah itu maksud robot?
Robot adalah sesuatu mesin yang dapat melakukan atau membuat berbagai-bagai pekerjaan manusia. Robot merupakan satu sistem mekanikal yang mempunyai sensors (input), actuators (output) dan dikawal oleh komputer (processor/brain). Selain itu, robotik berasal daripada perkataan robot yang membawa maksud peralatan elektrik dan mekanikal (mekatronik) yang boleh dikendalikan secara automatik.
TEKNOLOGI ROBOTIK
Robotik ialah cabang kejuruteraan yang melibatkan konsep, reka bentuk, pembuatan dan operasi robot. Bidang ini bertindih dengan disiplin bidang perkara yang lain seperti elektronik, sains komputer, kecerdasan buatan, mekatronik, nanoteknologi dan bioteknologi. Teknologi robotik digunakan untuk membangunkan suatu mesin yang boleh menggantikan manusia dan meniru tindakan manusia.
KEGUNAAN TEKNOLOGI ROBOTIK DALAM SEKTOR PENDIDIKAN
Berdasarkan Gelombang Pertama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, Kementerian Pendidikan Malaysia akan memberikan tumpuan pada peningkatan prestasi sistem pendidikan negara. Berdasarkan kajian lepas di peringkat antarabangsa, penggunaan teknologi robotik dalam pendidikan terbukti dapat meningkatkan penguasaan pelajar dari domain kognitif, afektif dan psikomotor. Potensi robotik dalam pendidikan sebagai bahan sumber di Malaysia dalam membantu meningkatkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) pelajar. National Robotics Competition (NRC) merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia bagi mencapai misi menyediakan platform pembelajaran yang dapat membentuk pelajar berkemahiran untuk berjaya pada abad ke-21. Teknologi robotik mampu membangun dan mengukuhkan pemikiran kreatif dan kritis serta kemahiran sosial pelajar bagi mencapai kejayaan dalam pelajaran juga masa depan. Para pelajar turut didedahkan dengan kemahiran-kemahiran insaniah seperti kemahiran penyelesaian masalah, pemikiran kreatif, komunikasi interpersonal dan kerjasama berkumpulan yang penting untuk dikuasai di peringkat ini.
KEGUNAAN TEKNOLOGI ROBOTIK DALAM SEKTOR PERINDUSTRIAN
Robotik dalam sektor perindustrian banyak membantu pelaksanaan kerja sedara lebih pantas dan efisien. Peningkatan penggunaan teknologi robotik akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan meningkatkan produktiviti dan seterusnya mengembangkan ekonomi sesebuah negara. Teknologi robotik mampu menggantikan tenaga manusia untuk kerja bersifat pengulangan dalam sektor pembuatan dan sektor perindustrian. Kajian Firma Ekonomi Oxford menunjukkan peningkatan penggunaan teknologi robotik akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan mengembangkan ekonomi sesebuah negara.
PENGGUNAAN TEKNOLOGI ROBOTIK DALAM SEKTOR PERTANIAN
Sektor pertanian memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi maklumat dalam revolusi perindustrian hari ini. Penggunaan mesin canggih serta teknologi robotik mampu meningkatkan kualiti dan produktiviti seterusnya memajukan sektor pertanian. Dalam industri pertanian, teknologi robotik boleh membantu memberikan maklumat mengenai keadaan cuaca malah ia berupaya memaklumkan jumlah air yang diperlukan oleh tanaman. Teknologi robotik juga boleh menghasilkan nutrisi tertentu mengikut bacaan pengesan bagi menjadikan tanaman lebih sihat, terpelihara dan berkualiti. Sistem pengesan berkomputer mampu menjangka hasil produktiviti setiap pokok, malah setiap plot atau sesebuah estet. Agriculture Drone akan menjadi satu keperluan dan kemestian dalam sektor pertanian di Malaysia terutamanya sektor penanaman padi dalam tempoh 3 tahun yang akan datang. Penyemburan racun menggunakan dron teknik Ultra Low Volume (ULV) iaitu penyemburan halus secara kabus telah banyak digunakan di kawasan sawah. Robot Farmo banyak digunakan di Malaysia bagi menjalankan kerja-kerja penyemburan racun agar petani tidak terdedah kepada bahan-bahan kimia berbahaya.
KEGUNAAN TEKNOLOGI ROBOTIK DALAM SEKTOR AEROANGKASA
All-Terrain Hex-Limbed Extra-Terrestrial Explorer (ATHLETE) merupakan kenderaan robotik pertama bagi eksplorasi angkasa yang telah dibangunkan di bawah projek NASA Human Robotic System (HRS). Prototaip ATHLETE generasi pertama dibina pada tahun 2005, terdiri daripada enam darjah kebebasan anggota badan yang dipasang ke sudut cincin heksagon selebar 2.75m (9 kaki). Ia mempunyai ketinggian berdiri maksimum lebih dari 2m (6.6 kaki), berat sekitar 850 kg (1875 lb) dan dapat membawa muatan maksimum 300 kg (660 lb) dalam graviti bumi. Robonaut (Generasi Pertama) telah dibangunkan oleh cabang Teknologi Sistem Robot di NASA Johnson Space Center dengan kerjasama DARPA. Projek Robonaut bertujuan untuk membangun dan mengembangkan sistem robot yang dapat berfungsi setara dengan Angkasawan EVA. CIMON merupakan robot pintar yang menjadi peneman angkasawan yang berada di International Space Station. Ia mempunyai kepintaran emosi yang membolehkannya memahami ekspresi wajah manusia dan berkomunikasi dengan angkasawan.
KEGUNAAN TEKNOLOGI ROBOTIK DALAM SEKTOR PERTAHANAN DAN KESELAMATAN
Penggunaan Robotik dalam bidang keselamatan hari ini dapat memudahkan proses pengesanan manusia dan aset-aset ketenteraan atau keselamatan, meronda kawasan secara fizikal, merekod data dan banyak lagi. Robot memiliki kelebihan untuk mengesan masalah yang mungkin tidak dapat dikesan oleh manusia. Robot tidak pernah tidur dan kerana itu, ia sangat membantu dalam kerja-kerja keselamatan. Knightscope’s Robot Robot ini berfungsi menggantikan peranan pengawal keselamatan. Ia boleh berfungsi 24 jam selama 365 hari. Penggunaan robot ini mampu mengurangkan kos yang ditanggung majikan seperti bayaran gaji pekerja dan insuran diri. Special Weapons Observation Remote Reconnaissance Direct Action System (SWORDS) Merupakan robot pertama yang digunakan oleh pihak tentera. Ia dilengkapi dengan senjata ringan serta boleh bergerak dan dikawal oleh pihak tentera.
KEGUNAAN TEKNOLOGI ROBOTIK DALAM SEKTOR PEMBINAAN
Penggunaan robot dalam proses pembinaan sesebuah bangunan membolehkan syarikat pembinaan melaksanakan banyak tugas diperlukan dengan lebih cekap dan produktif. Penggunaan robot membantu menjadikan kerja-kerja penyusunan batu-bata lebih mudah dan cepat. Kerja-kerja menurap jalan menjadi lebih mudah dan cepat apabila menggunakan teknologi robotik. Teknologi ini banyak digunakan di negara luar
KEGUNAAN TEKNOLOGI ROBOTIK DALAM SEKTOR KESIHATAN
Di Malaysia, Pusat Perubatan Sunway telah menggunakan pembedahan Da Vinci Robotic Surgery sejak tahun 2000. Penggunaan Robotik memungkinkan doktor bedah melakukan pembedahan yang lebih kompleks mulai dari pembedahan jantung hingga ke urologi. Kelebihan penggunaan robotik ialah pembedahan dapat dilakukan dengan lebih tepat di bawah penglihatan 3D, risiko pendarahan dapat dikurangkan dan menjadikan proses pembedahan lebih selamat. UiTM Private Specialist Centre (UiTM PSC) adalah hospital pertama yang memperkenalkan Pembedahan Transoral Robotik ini pada 2018. Pembedahan Transoral Robotik yang membabitkan bahagian pangkal lidah dan leher boleh dijalankan tanpa meninggalkan kesan parut jahitan malah dilakukan dalam tempoh singkat.
UNTUK MAKLUMAN LANJUT,
Dalam merealisasikan sebuah negara yang tidak mundur serta maju ke hadapan. Pihak kami iaitu SCIENCE CREATIVE ECONOMY & INNOVATION CENTRE (SCENIC) juga berharap agar lebih banyak lagi pendekatan tentang teknologi robotik ini dalam memajukan ekonomi negara serta memudahkan pekerjaan yang lain.