KEPENTINGAN TEKNOLOGI “BLOCKCHAIN”

Semenjak Bitcoin mencapai paras harga tertinggi pada April 2021 yang lalu, ramai yang mula berjinak-jinak dengan matawang kripto. Namun tidak ramai yang cakna dengan teknologi yang disandarkan di sebaliknya. Tidak lain dan tidak bukan, blockchain adalah teknologi yang menaungi matawang kripto, namun bukan sekadar Bitcoin sahaja, malah matawang kripto alternatif yang lain juga antaranya seperti Ethereum, Cardano dan Ripple. Walaupun begitu, blockchain bukanlah berkait dengan matawang kripto semata-mata, sebaliknya aplikasi ini lebih meluas dari itu. Artikel kali ini akan mengupas apakah itu blockchain dan apakah manfaat yang kita boleh perolehi darinya. 

 

Ciri-ciri utama

 

Walaupun teknologi blockchain merangkumi pelbagai aspek, terdapat persamaan antara ciri-ciri teknologi blockchain yang digunakan. Ciri-ciri ini adalah seperti berikut:

 

  1. Blockchain menyimpan maklumat dalam satu blok.
  2. Tiada satu badan atau satu pemain utama yang terlibat memastikan integriti data yang tersimpan dalam blok. Setiap blok ini dipantau dan disahkan oleh semua pemain yang terlibat. (Pemencaran kuasa/decentralization)
  3. Maklumat dalam blok tak boleh diubah oleh satu-satu pemain.
  4. Apabila maklumat dalam satu blok ini sudah selesai disimpan, ia akan dirantai dengan blok sebelumnya.
  5. Bagi mengubah kandungan satu-satu blok, satu persetujuan perlu diadakan antara majoriti pemain yang terlibat.
  6. Jika ada seseorang pemain cuba mengubah mana-mana blok, pemain-pemain lain akan sedar akan perubahan ini, dan integriti blok dapat dikekalkan.

 

Blockchain merupakan simpanan rekod dalam bentuk digital yang menyimpan data-data transaksi. Data-data ini disimpan dalam satu blok yang akan membentuk satu rantaian blok apabila terdapatnya pertambahan data yang lain. Rantaian blok ini disimpan di rangkaian awam yang terdiri daripada sejumlah nod. Nod-nod ini secara umumnya adalah gabungan komputer-komputer (atau lebih dikenali sebagai miners) yang dihubungkan di rangkaian awam sedunia secara peer to peer (p2p) tanpa pelayan (server) sebagai perantara. Setiap nod mempunyai salinan rantaian blok yang sama. Bermakna jika ada blok-blok baru yang wujud, setiap nod akan menerima salinan blok-blok baru tersebut.

Data-data yang disimpan di dalam sesuatu blok adalah pelbagai, bergantung kepada aplikasi blockchain itu sendiri. Setiap blok mempunyai pengenalan (ID) unik dan ia juga menyimpan ID blok sebelumnya. Penyimpanan ID blok sebelum inilah yang menjadikan setiap blok itu berantai antara satu sama lain, yang menjadi asas pada konsep blockchain. ID yang dijana ini adalah dalam bentuk penomboran hexadecimal dengan menggunakan fungsi kriptografi hash. Kandungan data di dalam sesuatu blok sangat mempengaruhi corak ID yang dijana. Oleh itu, jika terdapat perubahan data di dalam sesuatu blok, ia akan mengakibatkan perubahan kepada keseluruhan rantaian blok

Sebelum sesuatu blok itu dirantaikan bersama blok-blok yang lain, proses verifikasi perlu dilakukan oleh nod-nod. Secara ringkasnya, proses verifikasi ini melibatkan penjanaan ID dengan mematuhi nilai paras tertentu. Proses ini (yang juga dikenali sebagai mining) akan sentiasa berulang sehingga ID yang dijana adalah mengikut paras yang ditetapkan, dan seterusnya dirantaikan bersama blok-blok yang lain di dalam rangkaian awam. Imbuhan akan diberi pada nod-nod yang dapat menjana ID dengan masa terpantas dalam bentuk mata wang kripto dan upah transaksi. Proses verifikasi ini begitu rumit dan sangat bergantung pada spesifikasi perkakasan. Semakin tinggi spesifikasi perkakasan, maka semakin pantas proses penjanaan ID dan semakin lumayan imbuhan yang akan diterima.

Namun apakah kelebihan blockchain berbanding simpanan data konvensional melalui pelayan? Bergantung kepada aplikasinya, teknologi blockchain mendukung ketelusan data. Disebabkan blok-blok di dalam blockchain terletak di rangkaian awam tanpa sebarang autoriti yang mengawal data tersebut, maka data yang disimpan boleh diakses dan dijejak oleh nod-nod rawak. Sebagai contoh, dalam Bitcoin sendiri, kita boleh mengakses dan menjejak transaksi-transaksi yang dilakukan bermula dari Bitcoin wujud pada 2009 sehinggalah waktu ini melalui Bitcoin Explorer. Melaluinya, data-data transaksi seperti alamat digital penghantar dan penerima, tarikh transaksi dan juga jumlah transaksi boleh diakses dan dijejak. Selain itu, data-data yang disimpan di dalam blok tidak boleh diubah mahupun dikemaskini. Data hanya boleh ditambah melalui janaan blok yang baru. Ianya juga kekal selagi adanya nod-nod di rangkaian awam.

Sesetengah mungkin akan menganggap ini sesuatu kelemahan jika dibandingkan dengan kaedah penyimpanan data konvensional melalui pelayan, namun bergantung kepada aplikasinya juga, ianya adalah satu kelebihan terutamanya jika ketelusan data tanpa dikawal oleh mana-mana autoriti mahupun individu menjadi suatu keutamaan. Pasti sebelum ini kita pernah disajikan dengan berita pemalsuan data dalam pelbagai situasi, seperti pemalsuan kelulusan akademik, penggubahan jarak perbatuan kenderaan terpakai, pemalsuan sumber halal, pemalsuan kad pengenalan dan pelbagai lagi. Bayangkan jika blockchain diaplikasikan, tentunya pemalsuan menjadi lebih sukar kerana data-data ini sudah tersedia secara terbuka di rangkaian awam, boleh dijejak dan tidak boleh dipadam mahupun dikemaskini.

Namun begitu, setiap kelebihan pasti akan datang dengan kelemahan. Kelemahan yang paling ketara yang ada pada blockchain ialah transaksi data yang lambat. Sesuatu transaksi boleh mengambil masa selama 10 minit atau lebih. Ini disebabkan oleh proses verifikasi itu sendiri yang memakan masa dan juga ketersediaan sesuatu nod untuk melakukan verifikasi. Jika banyak verifikasi yang perlu dilakukan oleh nod-nod dalam sesuatu masa, maka lebih lama masa yang akan diambil. Pertambahan jumlah nod juga akan menyumbang kepada kelambatan transaksi kerana salinan rantaian blok perlu diagihkan kepada lebih banyak nod.

Selain itu, pertambahan nod juga akan menyebabkan jumlah ganjaran tidak selumayan dahulu. Kelemahan kedua yang sering hangat diperkatakan ialah blockchain menggunakan banyak sumber tenaga elektrik. Proses verifikasi memerlukan kuasa komputasi yang besar, lantaran itu memerlukan spesifikasi perkakasan yang tinggi. Semakin tinggi spesifikasi perkakasan, semakin tinggi pula kuasa elektrik yang digunakan.

Di sebalik kelemahan-kelemahan ini, terdapat sekumpulan pengaturcara dari pelbagai organisasi telah memulakan inisiatif penambahbaikan kepada blockchain. Sebagai contoh, Ethereum Foundation telah memperkenalkan proses verifikasi menggunakan kod aturcara tanpa melibatkan penggunaan perkakasan komputer. Malah, mereka juga telah menaik taraf blockchain dengan membenarkan aturcara dan aplikasi web dibangunkan di atas platform blockchain (juga dikenali sebagai smart contracts dan decentralised application). Ripple Labs pula menyelesaikan masalah transaksi data yang lambat yang mana teknologi mereka mampu melaksanakan transaksi sekitar 3.5 saat. Bagi syarikat atau organisasi besar yang memerlukan privasi data namun masih memerlukan penyimpanan data yang telus, mereka boleh mengaplikasikan Hyperledger Fabric di mana data-data hanya dikongsi di antara nod-nod yang dibenarkan sahaja.

Di Malaysia, pemerkasaan teknologi blockchain menunjukkan perkembangan yang sihat dan begitu kompetitif. Baru-baru ini, MyEG Services Berhad telah memulakan langkah untuk mengaplikasikan blockchain untuk perdagangan dan pembayaran. Mereka juga bercadang untuk memperkenalkan kewangan tidak berpusat (decentralised finance atau DeFi) yang mana pengguna boleh mendeposit matawang kripto mereka untuk mendapatkan faedah. Manakala dalam industri halal, Malakat Ecosystem telah membangunkan rangkaian blockchain halal yang pertama di dunia untuk menjejak sumber bekalan daging dalam setiap rantaian bekalan. Malaysia juga terkenal di mata dunia dengan pembangunan Ethereum Explorer yang dikenali sebagai ethersan.io oleh sekumpulan pakar teknologi maklumat (IT).

Lebih membanggakan lagi di Iskandar Puteri, Johor, pembangunan hub blockchain sedang giat dijalankan untuk membentuk satu ekosistem blockchain yang merangkumi latihan kepakaran, infrastruktur, promosi dan polisi. Peluang pekerjaan sebagai pembangun blockchain juga semakin berkembang dengan imbuhan yang lumayan. Seharusnya graduan dalam bidang IT perlulah mengambil peluang ini dengan mempersiapkan diri dengan kemahiran pengaturcaraan Solidity, Javascript dan Python. Kesemua sorotan ini merupakan satu perkembangan yang amat positif bagi negara kita agar sentiasa selangkah ke hadapan dalam teknologi blockchain.

Pihak “SCIENCE CREATIVE ECONOMY & INNOVATION CENTRE” berharap kemajuan teknologi seperti ini dapat diperkenalkan dengan lebih mendalam terhadap masyarakat agar mereka semua lebih faham akan tentang apa itu “blockchain

Keyword : blockchain, blok

    Comments are closed

    Lot 12, Ready Built Factory 5 (RBF5), Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), 88450 Kota Kinabalu Sabah, Malaysia

    CONTACT US

    Tel: +60 8849 8688
    Email: marketing@scenic.my
    Copyright 2024 - SCENIC | Web Designed by Khaiz Empire
    Privacy Policy
    Skip to content